Wednesday, June 16, 2004

Memahami kelemahan pembantu rumah Indonesia

========
http://utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2004&dt=0602&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_06.htm&arc=hive
=========

Oleh Nazarudin Zainun dan Soijah Likin

Berdasarkan kes Nirmala Bonat yang didakwa didera oleh majikannya, apa yang timbul dalam benak sesetengah pengamat ialah wujudnya masalah dalam komunikasi antara Nirmala dengan majikannya.

Majikannya menggunakan jurubahasa di mahkamah kerana tidak boleh memahami bahasa Malaysia ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan. Ini bermakna majikannya tidak boleh bertutur dan memahami bahasa Malaysia. Nirmala pula berasal dari Nusa Tenggara Timur. Masyarakat di wilayah itu juga tidak fasih berbahasa Indonesia, apatah lagi bahasa Inggeris.

Lantas timbullah persoalan bagaimana mereka berkomunikasi? Dari sudut antropologi di sini timbulnya masalah - lain disuruh lain dibuat. Apabila berkali-kali melakukan kesalahan sama maka kesabaran majikan pun hilang. Dalam kes ini sangat dikesalkan, majikan bertindak tidak sesuai dengan akal sihat.

Kehidupan pembantu rumah yang mundur dan miskin di kampung halaman menyebabkan mereka jauh dari dunia moden. Apa yang ditemui di rumah majikan adalah benda-benda yang pertama kali mereka lihat, dengar dan tahu. Jadi tidak hairanlah jika majikan perlu mengajar berkali-kali untuk menggunakan alat-alat elektrik. Apatah lagi jika alat-alat tersebut diperkenal dengan menggunakan istilah Inggeris, maka bertambahlah kebingungan mereka. Itu baru mengenal peralatan dapur belum lagi cara menggunakannya.

Perlu diingatkan bahawa kehidupan desa di Indonesia bukan seperti kehidupan di kampung-kampung di Malaysia. Apa yang ada di dalam rumah orang bandar boleh dikatakan sama atau hampir sama dengan apa yang ada di rumah orang kampung. Jika tidak sama sekalipun tetapi benda-benda yang asas pasti ada.

Malahan ada di kalangan mereka yang masih tidak mempunyai bekalan elektrik di rumah, ini sudah pasti memberikan gambaran kepada kita satu keadaan kosong pengetahuan tentang elektrik dan kegunaannya.

Untuk mengatasi masalah kebingungan ini, kita perlu berusaha sedikit untuk sama-sama membantu meningkatkan kefahaman mereka. Tidak salah jika kita mengalah dengan memahami bahasa mereka. Oleh kerana sebahagian besar majikan rakyat Malaysia berpendidikan adalah lebih mudah untuk kita memahami pembantu rumah berbanding mereka memahami majikan.

Jangan harapkan pembantu rumah boleh memasak mengikut menu kita, bukan mereka tidak pandai memasak tetapi kemiskinan menjadikan mereka miskin pengetahuan dan pengalaman. Tidak keterlaluan jika dikatakan terdapat orang Indonesia dari kampung yang tidak tahu makan ayam dan ikan kerana mereka tidak pernah memakannya. Meskipun mereka membela ayam tapi ayam dipelihara untuk dijual bagi membeli beras. Sebenarnya mereka bukan cerewet bila tidak makan itu dan ini, kerana apa yang kita makan adalah benda-benda yang mereka tidak tahu dan tidak pernah rasa makanan itu.

Cara makan orang Indonesia sebenarnya cukup mudah berbanding orang Malaysia yang perlu banyak lauk-pauk. Makanan seharian mereka cukup sekadar tempe, tauhu, keropok dan untuk golongan berada pula mungkin agak sama dengan sajian makanan kita di Malaysia.

Biasanya pembantu rumah Indonesia di negaranya, tidak bekerja setelah waktu Maghrib. Majoriti orang Indonesia makan sebelum Maghrib jadi selepas waktu itu, pembantu rumah bebas daripada tugas. Sebahagian daripada tugas rumah tangga diambil alih oleh majikan.

Pada waktu tersebut pembantu rumah akan keluar dan berjumpa dengan pembantu rumah yang lain untuk berbual-bual sambil makan bakso di halaman rumah atau di tepi-tepi jalan.

Tetapi ramai majikan di Malaysia tidak sedemikian. Terdapat pembantu yang bekerja 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu. Setelah seharian mengurus rumah dan anak adalah wajar untuk pembantu rumah memiliki waktunya sendiri setiap hari.

Ini penting untuk kesegaran fizikal dan mental agar esoknya pembantu rumah boleh memulakan kerja dengan sihat dan ceria. Kalau majikan terus memberikan kerja malahan waktu malam pun anak-anak disuruh tidur bersama pembantu rumah, bagaimana mereka mampu bekerja dengan cergas keesokannya kerana tidak cukup tidur dan rehat.

Keadaan ini mempengaruhi emosi dan fizikal pembantu rumah. Inilah yang mencetuskan faktor anak didera, pembantu malas, lesu, bergayut di telefon atau asyik tonton TV. Perlu disedari majikan (suami dan isteri) apabila telah berada di rumah, ambillah semula tugas rumah tangga terutamanya mengurus anak dan suami atau isteri.

Suami juga sama-sama membantu isteri untuk mengurus anak dan rumah tangga. Kebiasaannya, suami lepas tangan dan kerja yang biasanya boleh dilakukan berubah menjadi tidak tahu apabila ada pembantu rumah seperti mencuci kereta dan menyediakan susu anak. Sehingga ada kalangan anak memanggil pembantu rumah mereka sebagai emak dan ibu.

Jika ada waktu atau kelapangan, buat kerja bersama-sama atau meringankan kerja pembantu rumah, janganlah majikan hanya menjerit dan mengarah itu dan ini. Menguruskan rumah tangga dan menjaga anak bukanlah tugas yang mudah, tetapi cukup memenatkan apalagi anak-anak yang suka meragam.

Pembantu rumah bukan robot yang tidak ada perasaan dan bukan juga Badang yang kuat bertenaga, tetapi adalah makhluk yang sama dengan kita, ada rasa penat, letih, marah, suka, gembira, lapar dan dahaga. Mereka juga memerlukan apa yang kita perlukan seperti rehat, tidur, bercakap, bergembira dan berkawan.

Malahan pembantu-pembantu rumah ialah manusia dewasa yang ada rasa malu dan tertekan, jadi hindarkanlah memarahi dan mengherdik mereka di depan anak atau suami atau isteri. Kalau ada yang tidak puas hati bawalah bercakap dengan baik dan berhemah sesuai dengan taraf masyarakat kita yang dikatakan lebih moden dan terpelajar.

Sesungguhnya adalah tidak rugi untuk kita cuba memahami latar belakang dan watak pembantu rumah terlebih dahulu sebelum mengambil seseorang untuk bekerja dengan kita.

Sebagai orang yang beragama, tidak kira apa agama pun mempunyai ajaran yang sama - buat baik dibalas baik, buat jahat akan dapat balasan yang setimpal.

Dengan demikian, sebenarnya bukan penambahan syarat-syarat yang ketat pengambilan pembantu rumah yang sangat diperlukan pada masa ini, tetapi pemahaman kita terhadap calon pembantu rumah. Semakin kita memahami mereka maka sebenarnya kita semakin memudahkan diri dan keluarga.

- Dr. Nazarudin Zainun ialah Pensyarah Sejarah Asia Tenggara (Indonesia) Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

- Soijah Likin ialah ahli antropologi bebas dan pengamat sosial masalah pekerja wanita Indonesia di Malaysia.

No comments: